1 April 2014

April

Rasa baru semalam April 2012 dan hari ni April lagi untuk 2014. Banyak juga yang dirasa, lelah jugak berlari pecut dengan hati yang diragut, itu belum campur dengan luka pedih dahulu yang belum sembuh. Susah rupanya hidup ni. Susah rupanya jadi manusia yang ada hati.

Tapi kali ini berbeza sedikit. Kali ini rasa rabak dia lain macam. Kalau dulu bila rabak, rasa sedih. Kalau dulu rasa rabak, mesti rasa nak meroyan, rasa macam luka kena hiris berkali-kali dengan pisau dan dilumur dengan garam. Tapi itu dulu. 


Maaf, seratus kali ucapan maaf saya ucapkan jika selama ini mungkin kelihatan saya ini keterlaluan orangnya, kurang sabar hatinya tapi dengan keputusan ini bukan tanda saya tak sayang.


Tak pernah sekali awak berbicara tentang apa yang terjadi, apatah lagi mahu berbicara mengenai apa yang awak rasa dalam hati dan perancangan kita suatu masa nanti. Mula-mula kawan, lepas tu saya pun dah keliru apa dah jadi. Tapi seperti biasa, awak cakap biarlah masa yang menentukan semua ini.


Tapi kadang-kadang, dunia seolah-olah membuat satu konspirasi. Bila kerap kali sesuatu terjadi tapi kamu terus mengelak dan cuba sembunyi. Bila sudah acap kali mulut membuat sumpah tidak mahu berjanji, di pengakhirannya kita masih di sini. Masih lagi dalam persimpangan dilema, masih lagi di takuk yang sama, mungkin masih lagi tak tahu apa yang menanti di kemudian hari. Dan bila ada jarak sebagai pemisah, saya pun mula makan hati.


Mohon jangan salah faham, you're one of the best things that had happened to me. Saya juga sudah maklum, jodoh itu semua ketentuan Tuhan tapi tiada sekelumit pun saya nampak awak ke arah itu. Jadi, ia umpama tiada satu dahan pun untuk saya bergantung dari jatuh ke dalam gaung, yang ada cuma suara kamu sahaja yang mendokong dan itu tak dapat selamatkan saya. Akhirnya, saya terus terjatuh. 


Ini semua bukan makian, tapi sebagai ucapan terima kasih. Terima dan kasih untuk semuanya. Yang manis itu harapnya akan kekal manis, dan yang pahit itu mohon agar diletak tepi dihujung kaki. April ini memang bulan pengakhiran, saya harap apa yang terjadi antara kita, dilipat kemas jadikan bekalan. Kita bermula dengan kawan, diharap walau apa pun yang terjadi esok, masih boleh kekal sebagai kawan.