2015 bakal menjengah, 2014 akan melabuhkan tirai. Realitinya serasa tiada beza sangat tahun apa, kerana jiwa aku statik sejak dari 2010. Bezanya cuma kadang-kadang aku rasa gagah perkasa dan kadang-kadang lemah tersungkur tak berjiwa.
Satu demi satu luahan, rungutan dan kejian atau entah apa-apa lagi yang boleh dilihat dalam meladeni hidup seorang bernama manusia, yang jelas manusia tidak akan pernah puas. Ada pasangan tapi pasangan ditinggalkan demi mencari yang lain dengan alasan tidak mengembirakan walau pernah hidup susah senang bersama. Ada pasangan tapi tidak pernah menghargai pasangan dan entah macam-macam lagi.
Bila cuba jelaskan apa yang dirasa dan memberikan pandangan, kita pula dipersalahkan. Jadi, tiada guna cuba bersuara, diam dan senyum. Kita tidak seharusnya merungut apabila sendiri tak mampu mengatasi masalah yang dihadapi. Lebih enak lagi berkrim jika cuba berikan yang terbaik dan berusaha demi kebaikan sendiri, tak salahkan?
Sesungguhnya, ego itu bukan dapat memberikan kepuasan jika natijahnya sesuatu yang memakan diri kembali.
Cedera parah dulu, mengubah diri aku menjadi lebih meredhai apa yang dilalui. Kadang-kala kita perlu mengalah, tahan saja segala amarah. Aku tak mahu membunuh saraf dan neuron sebuah atma. Serahkan saja pada yang pakar lagi maha berkuasa untuk menulis takdir. Semoga 2015 sesuatu yang positif dan bahagia untuk aku, kamu dan kamu semua.