10 October 2015

Bahagia

Ada orang mempunyai keluarga yang serba mencukupi. Punya rezeki untuk peroleh zuriat yang ramai. Punya suami yang rajin membantu dengan urusan rumahtangga. Cuma satu hal sahaja yang kurang. Kemewahan wang ringgit dan harta benda. 

Seseorang yang lain pula, punya suami bergaji kecil. Kalau inginkan apa-apa perlu berusaha sendiri kerana kadangkala makan pakai pun tidak mampu ditanggung suami. Setiap bulan akan defisit. Maka berhempas pulas dia berniaga. Bukan sahaja urusan anak anak dan rumahtangga, malah urusan mencari wang juga sama terbeban dibahunya.

Seseorang lagi pula, punya kemewahan harta benda yang tak akan habis. Punya anak, tetapi anak tunggal dan jauh pula dari mata. Punya suami, tapi jarang ada di rumah. Sudahlah sibuk dengan kerja, masa yang ada perlu dibahagi dua pula kerana suaminya beristeri dua.

Seorang wanita yang lain pula, tinggal sendirian walau usia sudah separuh abad. Jodoh tak sampai sampai. Ada kerjaya, ada wang, punya masa yang banyak dan hidup bebas  tapi kesepian. 

Bahagiakah keempat-empat wanita ini?

Sungguh manusia dan hidup itu tiada yang sempurna, ada kelebihan dan kekurangan. Sejauh mana pula wanita-wanita ini mendapat kebahagiaan? 

Bahagia itu datang dari satu sumber sahaja iaitu dari hati atau keseluruhannya diri sendiri. Bagaimana pula hati itu boleh bahagia? 

Bersyukur.  

Ya, dengan cara bersyukur maka kita akan rasa bahagia dan nampak keindahan hidup serta hikmah terkandung dalamnya. Kita akan merasa bahagia apabila kita merasa cukup dengan apa yang ada. Berhentilah mencongak-congak apa yang kita tak ada. Berhentilah membanding-bandingkan hidup kita dengan hidup orang. Ada hikmah apa yang kita ada dan tiada kerana Tuhan itu tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Hidup ni dah cukup asam-garam-gula nya. Kita cuma perlukan bahan-bahan yang lain untuk melengkapkannya menjadi menu yang kita idamkan. Bahan-bahan untuk membuat tomyam manakan sama dengan bahan-bahan untuk membuat rendang.

Hargailah apa yang ada dan berbahagia.